Friday, April 26, 2024

PRN Sarawak: Kekerapan penerbangan Miri ke Lawas, Limbang ditambah – Wee Ka Siong

MIRI — Kekerapan penerbangan dari Miri ke Lawas dan Limbang akan ditambah ekoran rungutan daripada pengguna yang menghadapi kesukaran mendapatkan tiket laluan udara ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 ini.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata kekerapan penerbangan di Sarawak akan bertambah bermula 11 hingga 31 Dis ini melibatkan sebanyak 307 penerbangan.

“Saya sudah mengarahkan Mavcom (Suruhanjaya Penerbangan Malaysia) mengkaji situasi ini kerana kita perlu menambah bilangan penerbangan (ke Lawas dan Limbang) dan meningkatkan kebolehcapaian orang ramai dari satu tempat ke tempat yang lain,” katanya pada satu sidang media selepas merasmikan bangunan baharu Pejabat Laut Miri, Jabatan Laut Wilayah Sarawak di sini, hari ini.

Mengenai pejabat baharu berkenaan, Wee berkata projek Kerajaan Persekutuan bernilai RM9 juta itu telah siap sepenuhnya Ogos tahun lepas dengan reka bentuk terkini serta dilengkapi kemudahan pejabat yang moden dan mampu menempatkan seramai 40 kakitangan.

Beliau juga maklumkan Kementerian Pengangkutan komited dalam memberikan perkhidmatan dan kemudahan terbaik kepada seluruh warga Keluarga Malaysia.

Terbaharu katanya, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan pembinaan sebahagian Jeti Pejabat Laut di Sarikei yang dianggarkan bernilai RM3.6 juta.

“Jeti baharu di Sarikei itu berupaya mewujudkan persekitaran yang selamat dan kondusif bagi menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan serta meningkatkan aktiviti pemantauan keselamatan navigasi di sepanjang perairan Sarikei,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan 18 Dis ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sarawak, hari penamaan calon pada 6 Dis manakala pengundian awal pula ditetapkan pada 14 Dis.

Berkaitan - Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Terkini/Latest

Popular