Friday, April 26, 2024

Hospital Sibu di ambang krisis, petugas bergelut rawat pesakit, dakwa Ahli Parlimen

KUCHING: Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii mendakwa petugas kesihatan barisan hadapan di Hospital Sibu di ambang kepenatan akibat lonjakan kes Covid-19.

Dengan menyifatkannya perkara serius, beliau berkata, sepucuk surat yang dikatakan daripada seorang doktor di hospital itu mendakwa unit rawatan rapi (ICU) sudah penuh dan hospital berkenaan terpaksa memindahkan beberapa pesakit Covid-19 dengan peluang sembuh tipis ke wad lain.

Surat itu diterbitkan sebuah portal dalam talian.

Yii dalam kenyataan hari ini menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak menyiasat dakwaan itu, sebelum satu lagi krisis besar tercetus.

“Kerajaan perlu memberi sokongan diperlukan dan tenaga kerja tambahan untuk mengelakkan hospital itu dibanjiri pesakit atau membahayakan kesihatan kakitangan perubatan.

“Daripada mengugut mereka dengan tindakan disiplin kerana melaporkan kes atau insiden sedemikian, pihak berkuasa perlu memberi jaminan kepada mereka dengan memberikan lebih banyak sokongan,” kata beliau, sambil menambah, Hospital Sibu masih menjadi hospital hibrid yang turut merawat pesakit bukan Covid-19.

Yii turut mendapati laporan harian JPBN Sarawak tidak mencerminkan keadaan sebenar di lapangan.

Berdasarkan surat itu, kata beliau, terdapat 27 pesakit Covid-19 di ICU, yang bercanggah dengan laporan jawatankuasa itu yang menyatakan hanya terdapat 12 kes sedemikian di seluruh Sarawak.

“Jawatankuasa itu perlu lebih telus dalam pengurusan data mereka bagi meyakinkan orang ramai dan tidak menimbulkan persepsi tidak perlu bahawa ada sesetengah perkara disembunyikan,” kata beliau.

Beliau berkata, dalam krisis kesihatan awam, laporan jujur dan telus penting agar orang ramai dapat memahami sepenuhnya keadaan sebenar di lapangan supaya sokongan atau campur tangan boleh diberikan.

Beliau turut mendesak KKM mendedahkan perkembangan rancangannya menghantar 430 kakitangan kesihatan ke Sarawak.

Kata beliau, mereka perlu diberi segala sokongan yang diperlukan, dan pengaturan untuk terbang secepat mungkin.

Berkaitan - Related Articles

Terkini/Latest

Popular