Friday, April 26, 2024

[VIDEO] Kebakaran di Mid Valley Megamall libat bilik pencawang TNB

Satu kebakaran dilaporkan berlaku di pusat membeli-belah Mid  Valley Megamall hari ini.

Beberapa video tular di media sosial yang menunjukkan kepulan asap hitam keluar daripada bangunan itu.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur (JBPM) ketika dihubungi mengesahkan kebakaran telah berlaku di pusat beli-belah itu.

“Kebakaran itu melibatkan salah sebuah bilik pencawang Tenaga Nasional Berhad. Kami akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat,” katanya.

Sementara itu, pihak Mid Valley Megamall menerusi Facebook mengesahkan kebakaran itu berlaku di bilik pencawang TNB pusat beli-belah itu dan berjaya dikawal oleh Pasukan Tindak Balas Kecemasan.

Pihak pusat beli-belah itu turut mengesahkan setakat 11.38 pagi, tiada kecederaan atau kemalangan dilaporkan oleh JBPM yang kini berada di lapangan menjalankan siasatan dan memastikan keselamatan premis tersebut.

“Mid Valley City akan ditutup sehingga diberitahu kelak. Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan dan ingin menegaskan semula bahawa keselamatan pembeli dan pengunjung sentiasa menjadi keutamaan kami,” menurut kenyataan itu.

Dalam kenyataan lain, syarikat pawagam Golden Screen Cinemas (GSC) memaklumkan semua tayangan di GSC Mid Valley Megamall akan dibatalkan dan pawagam itu ditutup sementara waktu sehingga diberitahu kelak.

“Walaupun pawagam kami tidak terkesan secara langsung, kami sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan pengurusan pusat beli-belah untuk memastikan keselamatan semua orang, kami akan mengeluarkan bayaran balik bagi semua tiket yang telah dibeli,” menurut GSC menerusi Facebook.

Berkaitan - Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Terkini/Latest

Popular