Tuesday, March 5, 2024

Kerajaan tiada halangan usaha Sarawak pertingkat fasiliti penerbangan – Wee

MUKAH — Kerajaan Persekutuan tiada halangan membenarkan Kerajaan Negeri Sarawak mempertingkat fasiliti lapangan terbang di negeri itu yang memberi manfaat kepada seluruh rakyatnya, selari dengan pembangunan pesat di negeri itu.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata Kementerian Pengangkutan antara lain telah memberikan kelulusan kepada Kerajaan Negeri Sarawak untuk menaik taraf Lapangan Terbang Lawas dan cadangan pembinaan STOLport (padang terbang pelepasan dan pendaratan pendek) di Betong dan Kapit.

“Kesemuanya (cadangan) telah diangkat kepada MOT (Kementerian Pengangkutan) dan setelah berbincang dengan wakil Kerajaan Negeri, ini adalah inisiatif Kerajaan Negeri Sarawak, tahniah dan syabas kepada Ketua Menteri kita tidak ada halangan malah telah memberi kelulusan kepada kerajaan negeri,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Lapangan Terbang Baharu Mukah yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Turut hadir Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Pembinaan lapangan terbang di Bukit Mabong, Kapit dan Bebuling di Spaoh, Betong yang dibiayai Kerajaan Negeri Sarawak dijangka siap pada 2023 dan bakal menyediakan perkhidmatan pengangkutan kargo dan penumpang.

Wee memberi jaminan akan sentiasa memberikan perhatian terhadap sebarang cadangan dan perkara yang dibawa oleh Kementerian Pengangkutan Sarawak termasuk memperbaiki perkhidmatan udara luar bandar (RAS).

Wee berkata pembinaan Lapangan Terbang Baharu Mukah bakal menjadi pemangkin yang mampu menggerakkan kemajuan dan pembangunan lebih pesat di kawasan itu termasuk menyokong aktiviti ekonomi di Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Ia termasuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi di Mukah dengan meningkatkan jaringan pengangkutan antara sektor perdagangan, selain memudahkan eksport pertanian, perikanan, makanan dan juga produk tempatan seperti sagu dan umai yang merupakan makanan istimewa etnik Melanau.

Projek Pembinaan Lapangan Terbang Baharu Mukah yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari pusat bandar Mukah, telah bermula pada 11 Ogos 2017 untuk menggantikan Padang Terbang Mukah (STOLport) yang lama.

Lapangan Terbang Baharu Mukah yang mula beroperasi sejak 17 Jun 2021 mempunyai kapasiti untuk mengendalikan 265,000 penumpang setahun.

— BERNAMA

Berkaitan - Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Terkini/Latest

Popular